Polis Tumpaskan Geng Remaja Pecah Rumah Dan Asrama
Butterworth,
2 Ogos - Polis Pulau Pinang menumpaskan 'Geng Muhibah' yang dianggotai
remaja belasan tahun dan aktif dalam jenayah pecah rumah dan asrama
pekerja di sekitar Butterworth, di sini.
Kegiatan
kumpulan itu terbongkar selepas polis menahan seorang remaja lelaki
pada 20 Julai selepas memecah masuk sebuah asrama pekerja di Jalan Jetti
Lama, di sini pada pukul 5.30 pagi.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata hasil
soal siasat, polis berjaya menahan tiga remaja lelaki dan seorang pemuda
yang disyaki anggota kumpulan itu.
"Siasatan
lanjut terhadap mereka yang berusia 14 hingga 24 tahun itu membawa
polis ke beberapa kawasan di sekitar Butterworth yang dijadikan tempat
geng itu menyembunyikan barangan yang dicuri. "Kami berjaya menemui
semula empat beg pakaian yang dicuri dan lapan telefon bimbit yang di
curi. Kesemua barang itu telah dicam oleh 15 penghuni asrama pekerja
berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini, malam tadi.
Mazlan berkata semua mereka kini direman bagi membantu siasatan.
Dalam
perkembangan lain, polis yakin dapat melumpuhkan satu kumpulan yang
digelar sebagai 'Geng Chon' yang disyaki terbabit dengan dengan kegiatan
mencuri dan menjual komponen motosikal.
"Bertindak
hasil maklumat awam dan risikan, anggota polis berjaya menahan dua
lelaki berusia lingkungan 20-an di kawasan Pasar Awam Permatang Manggis,
Kepala Batas pada pukul 12 tengah hari Ahad lepas," katanya.
Mazlan
berkata siasatan lanjut membawa kepada penemuan sebuah motosikal jenis
Honda EX5 milik seorang lelaki berusia 31 tahun yang dilapor hilang di
kawasan pasar itu pada pukul 5 pagi hari yang sama.
Beliau
berkata susulan itu, polis menahan tiga lagi lelaki berusia 20-an yang
dipercayai anggota geng itu di Sungai Petani, Kedah dan merampas satu
rangka motosikal, enjin motosikal yang nombornya telah dicanai serta
pelbagai komponen motosikal.
"Hasil
ujian awal saringan air kencing didapati kesemua suspek positif dadah
dan mereka kini direman untuk membantu siasatan," katanya.
Sumber : BERNAMA