Polis Tumpas Sindiket Hasilkan Dokumen Palsu Untuk Pohon Pin
George
Town, 14 Mac - Satu sindiket yang menghasilkan dokumen palsu untuk
mendapatkan pinjaman peribadi daripada sebuah institusi kewangan tumpas
apabila polis menahan empat individu dalam serbuan Rabu lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang ACP Azmi Adam berkata
dua lelaki dan dua wanita berusia antara 29 dan 45 tahun itu ditahan
secara berasingan di sekitar Seberang Jaya, dekat sini.
"Kami
menerima laporan daripada sebuah institusi kewangan pada Rabu yang
memaklumkan terdapat sindiket menawarkan dokumen palsu kepada orang
ramai untuk dapatkan pinjaman peribadi dan hasil maklumat yang
diperolehi, anggota polis menyerbu sebuah pangsapuri di Seberang Jaya.
"Di
situ kami menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai peralatan yang
digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu antaranya sebuah komputer
riba, enam keping sim kad, 35 set dokumen permohonan pinjaman, 46 cop
pelbagai agensi, 26 cop pelbagai tanda tangan, 11 telefon bimbit dan
sebuah pencetak," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata susulan itu, polis menyerbu tiga rumah di sekitar Seberang Jaya dan menahan tiga anggota sindiket berkenaan.
Azmi
berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan mencari pelanggan
yang kesempitan wang dan mempelawa mereka mendapatkan pinjaman kewangan
daripada sebuah institusi kewangan.
"Selepas
pelanggan menyerahkan salinan kad pengenalan, sindiket terbabit akan
menyediakan dokumen-dokumen palsu seperti slip gaji, surat pengesahan
majikan dan lain-lain sebelum diserah kepada institusi kewangan,"
katanya.
Beliau
berkata sindiket itu turut memberikan nombor telefon mereka untuk pihak
bank membuat pengesahan majikan sama ada maklumat yang diberi betul
atau sebaliknya.
Setakat
ini sebanyak 17 permohonan pinjaman peribadi telah diluluskan institusi
kewangan berkenaan dan difahamkan kes melibatkan kerugian ribuan
ringgit, katanya.
"Sindiket
itu akan mengenakan caj berdasarkan berapa banyak pinjaman yang
diperoleh peminjam daripada institusi kewangan. Difahamkan sindiket itu
baru sahaja beroperasi," katanya.
Sumber : BERNAMA