Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tumpas Sindiket Hasilkan Dokumen Palsu Untuk Pohon Pin

Diterbitkan: 19 Jun 2014 2.55 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
George Town, 14 Mac - Satu sindiket yang menghasilkan dokumen palsu untuk mendapatkan pinjaman peribadi daripada sebuah institusi kewangan tumpas apabila polis menahan empat individu dalam serbuan Rab..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tumpas-sindiket-hasilkan-dokumen-palsu-untuk-pohon-pin
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 15:02 MYT

George Town, 14 Mac - Satu sindiket yang menghasilkan dokumen palsu untuk mendapatkan pinjaman peribadi daripada sebuah institusi kewangan tumpas apabila polis menahan empat individu dalam serbuan Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang ACP Azmi Adam berkata dua lelaki dan dua wanita berusia antara 29 dan 45 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Seberang Jaya, dekat sini.

"Kami menerima laporan daripada sebuah institusi kewangan pada Rabu yang memaklumkan terdapat sindiket menawarkan dokumen palsu kepada orang ramai untuk dapatkan pinjaman peribadi dan hasil maklumat yang diperolehi, anggota polis menyerbu sebuah pangsapuri di Seberang Jaya.

"Di situ kami menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu antaranya sebuah komputer riba, enam keping sim kad, 35 set dokumen permohonan pinjaman, 46 cop pelbagai agensi, 26 cop pelbagai tanda tangan, 11 telefon bimbit dan sebuah pencetak," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu, polis menyerbu tiga rumah di sekitar Seberang Jaya dan menahan tiga anggota sindiket berkenaan.

Azmi berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan mencari pelanggan yang kesempitan wang dan mempelawa mereka mendapatkan pinjaman kewangan daripada sebuah institusi kewangan.

"Selepas pelanggan menyerahkan salinan kad pengenalan, sindiket terbabit akan menyediakan dokumen-dokumen palsu seperti slip gaji, surat pengesahan majikan dan lain-lain sebelum diserah kepada institusi kewangan," katanya.

Beliau berkata sindiket itu turut memberikan nombor telefon mereka untuk pihak bank membuat pengesahan majikan sama ada maklumat yang diberi betul atau sebaliknya.

Setakat ini sebanyak 17 permohonan pinjaman peribadi telah diluluskan institusi kewangan berkenaan dan difahamkan kes melibatkan kerugian ribuan ringgit, katanya.

"Sindiket itu akan mengenakan caj berdasarkan berapa banyak pinjaman yang diperoleh peminjam daripada institusi kewangan. Difahamkan sindiket itu baru sahaja beroperasi," katanya. 

Sumber : BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 19 Jun 2014 2.55 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM