Polis Tumpas Sindiket Curi Kereta Di Ledang
Ledang,
13 Sept - Polis menahan lapan orang termasuk dua wanita yang dipercayai
anggota sindiket mencuri kereta serta merampas dua buah kereta bernilai
lebih RM200,000 di Jalan Sialang, Tangkak di sini Selasa lalu.
Ketua
Polis Daerah Ledang Supt Harun Idris berkata kesemua mereka berusia
antara 20 hingga 37 tahun dan berasal dari sini, Muar, Kluang dan Melaka
yang diberkas ketika sedang khayal di sebuah premis kira-kira pukul 6
petang.
"Kita
percaya mereka terbabit dalam sindiket mencuri kenderaan berdasarkan
penemuan dua kereta curi, nombor pendaftaran dan cukai jalan yang
dipalsukan.
"Sehubungan
itu polis telah merampas sebuah kereta Honda Accord dan sebuah Perodua
MyVi yang sebelum ini dilaporkan hilang di Kajang, Selangor akhir bulan
lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD)
Ledang di sini hari ini.
Beliau
berkata dengan penahanan suspek dan penemuan kereta itu, polis percaya
dapat menyelesaikan dua kes mencuri kereta dalam masa dua minggu dan
kereta berkenaan akan diserahkan kepada IPPD Kajang untuk tindakan
lanjut.
Menurut
beliau, kesemua suspek merupakan penagih tegar serta tidak memiliki
pekerjaan tetap dan dipercayai bergantung kepada kegiatan jenayah
mencuri kenderaan sebagai sumber mereka menyara diri.
Harun
berkata salah seorang suspek dipercayai ketua kumpulan sindiket itu
yang memiliki 16 rekod jenayah lampau yang membabitkan kesalahan
penyalahgunaan dadah dan jenayah sejak 2011.
Polis turut menemui enam paket kecil dipercayai berisi dadah jenis syabu dari lelaki berkenaan.
Empat
lagi suspek termasuk dua wanita itu mempunyai sehingga 16 rekod jenayah
atas pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Kesemua
mereka kini direman sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber : BERNAMA