Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Tumpas Lima Sindiket Seludup Edar Dadah Guna Perkhidmatan Kurier

Published: 08 Apr 2015 7.44 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuala Lumpur, 8 April 2016 - Polis menumpaskan lima sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa menggunakan perkhidmatan syarikat kurier dan pengangkutan kargo laut dalam lima serbuan berasingan di ibu negara, Selangor dan Johor antara 1 hingga 6 Apr lepas.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tumpas-lima-sindiket-seludup-edar-dadah-guna-perkhidmatan-kurier
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 15:56 MYT
Kuala Lumpur, 8 April 2016 - Polis menumpaskan lima sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa menggunakan perkhidmatan syarikat kurier dan pengangkutan kargo laut dalam lima serbuan berasingan di ibu negara, Selangor dan Johor antara 1 hingga 6 Apr lepas.

Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) itu menyaksikan empat warga tempatan dan 10 warga asing berusia dalam lingkungan 26 hingga 40 tahun ditahan.

Pengarah JSJN Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dadah pelbagai jenis bernilai RM2.3 juta dengan berat keseluruhan 16.4 kilogram dipercayai diperoleh dari China untuk pasaran antarabangsa dirampas hasil serbuan dijalankan.

Dalam serbuan pertama di Taman Perindustrian Tasik Perdana, Puchong 1 April lepas, Mohd Mokhtar berkata pihaknya merampas satu kilogram dadah jenis syabu bernilai RM150,000 dan tiada tangkapan dilakukan.

"Dua hari kemudian, tiga serbuan dijalankan di Casa Residency di Kuala Lumpur dan sekitar Ampang menyaksikan dua lelaki Indonesia ditahan dan dadah seberat 0.9 kilogram bernilai RM135,000 dirampas.

"Manakala Isnin lepas, polis menahan dua wanita Thailand dan seorang wanita Indonesia di Sungai Besi dan turut merampas dadah jenis syabu seberat 0.3 kilogram bernilai RM45,000," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata dua lelaki dan seorang wanita Nigeria serta seorang wanita Indonesia pula diberkas dalam dua serbuan berasingan pada Selasa lalu di Petaling Jaya dan polis merampas dadah seberat 3.2 kilogram bernilai RM480,000.

Selain itu, Mohd Mokhtar berkata empat serbuan berasingan yang dijalankan di Johor Baharu pada Rabu lalu menyaksikan empat warga tempatan bersama seorang wanita Vietnam ditahan.

"Antara dadah yang dirampas adalah ketamin, ganja, candu dan heroin dengan berat keseluruhan kira-kira 11 kilogram dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

"Dalam pada itu, sitaan harta yang dirampas bernilai RM531,000 merangkumi wang tunai berjumlah RM14,408, beberapa utas jam tangan dan tujuh buah kereta," katanya.
Ditanya sama ada kelima-lima sindiket itu mempunyai kaitan, beliau berkata polis sedang menyiasat perkara berkenaan.

Katanya kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 12 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA

ArticlePublished 08 Apr 2015 7.44 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM