Polis Tumpas Kegiatan Edar Dadah Di Jb Dengan Penahanan Seor
JOHOR
BAHARU, 17 Januari 2012 (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan
pengedaran dadah di bandar raya ini selepas menahan seorang lelaki di
Jalan Abdullah Tahir, di sini, dan merampas pelbagai jenis dadah
bernilai hampir RM700,000 Ahad lepas.
Ketua
Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki bujang
berumur 39 tahun yang menaiki sebuah kereta itu ditahan anggota Bahagian
Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu
Selatan, pukul 5.10 petang, selepas mendapat maklumat berkaitan
pengedaran dadah.
"Pemeriksaan
terhadap kereta itu menemui 5,200 biji pil khayal yang dipercayai
Eramin 5. Serbuan dan pemeriksaan susulan kemudian dilakukan ke atas dua
unit kediaman di Bangunan DNP, di jalan yang sama dan polis menemui
12,000 pil yang disyaki Eramin 5, 33 biji pil WY, 10 biji pil ecstasy
serta 8.3 gram syabu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Johor, di sini, Selasa.
Mohd
Mokhtar berkata polis turut merampas sepucuk pistol tiruan dan sebutir
bom tangan palsu dalam pemeriksaan di kediaman berkenaan.
Beliau
berkata ujian air kencing ke atas lelaki yang dipercayai terlibat
kegiatan pengedaran dadah di bandar raya ini dan Melaka itu positif
syabu dan dia yang mempunyai dua rekod berkaitan dadah, direman sehingga
Ahad depan.
Katanya
dadah yang dirampas itu anggaran bekalan kepada 17,245 orang penagih
dan dipercayai sebagai bekalan untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina
minggu depan.
Sementara
itu, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menahan seorang remaja lelaki
berumur 17 tahun di bandar raya ini, Ahad lepas bagi membantu siasatan
pembunuhan seorang remaja perempuan di rumahnya di Taman Kempas, di
sini, Rabu lalu.
Beliau
berkata remaja terbabit yang ditahan pada pukul 4.30 pagi merupakan
suspek kelima yang ditahan berhubung pembunuhan berkenaan.