Sungai Buloh - Polis berjaya menumpaskan Geng Sahrul yang aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal di daerah ini dengan tertangkapnya empat lelaki tempatan termasuk ketuanya dalam dua serbuan berasingan di Kampung Paya Jaras di sini pada 30 April lalu.
Dalam serbuan pertama pada pukul 4.30 petang itu, polis berjaya menahan salah seorang anggota geng berkenaan semasa suspek sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Abdul Aziz Awang Darus berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, motosikal yang digunakan suspek ialah motosikal curi.
"Polis kemudiannya berjaya menahan tiga lagi anggota geng tersebut di kawasan sama pada pukul 8 malam.
"Soal siasat yang dijalankan membawa kepada penemuan 14 rangka dan komponen motosikal curi pelbagai jenis seperti Honda EX5, Yamaha 135LC dan Honda C100 yang dianggarkan bernilai RM30,000 yang dibuang di dalam sungai dan semak di kawasan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini semalam.
Sumber: Kosmo