Polis Tumpas Geng Curi Kenderaan Berat Babit Kerugian Rm700
Kuala
Lumpur, 24 Sept - Polis berjaya menumpaskan sindiket curi kenderaan
berat membabitkan kerugian sekitar RM700,000 susulan penahanan empat
lelaki termasuk seorang anggota kongsi gelap dalam tiga serbuan sejak
Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata suspek diberkas oleh pasukan polis daripada Ops Cantas Khas di sekitar Sungai Besi, Seri Kembangan dan Serdang.
Dalam
serbuan pertama, polis memberkas dua lelaki di kawasan tempat letak
kenderaan di sebuah flat di Sungai Besi dan di situ polis merampas
beberapa peralatan mencuri kenderaan berat termasuk kunci, katanya dalam
sidang media, di sini hari ini.
Beliau
berkata susulan penangkapan itu, polis memberkas dua lagi suspek iaitu
masing-masing di Serdang dan Seri Kembangan pada Sabtu lalu.
Hasil
siasatan ke atas empat lelaki berkenaan, polis menemui semula beberapa
kenderaan berat yang dipercayai dicuri kumpulan itu termasuk dua
jentolak dan jentera penggelek jalan yang disembunyikan di bawah
jambatan di Sungai Besi.
"Polis
turut merampas sebuah lori pengangkut kenderaan berat yang disewa
kumpulan berkenaan untuk mengangkut kenderaan yang dicuri. Kita percaya
suspek sembunyikan kesemua kenderaan itu sementara menanti pembeli,"
katanya.
Mohan
Singh berkata modus operandi kumpulan itu yang dipercayai aktif sejak
enam bulan lalu adalah mencuri di tapak pembinaan yang tidak dikawal
atau tidak beroperasi di sekitar Lembah Klang.
Polis
kini memburu lima lagi termasuk ketua mereka yang digelar 'Boy',
katanya menambah empat suspek berusia antara 31 dan 44 tahun itu ditahan
reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun
Keseksaan dan Akta Pertubuhan 1966.
Sumber : BERNAMA