Polis Tumpas Geng Ah Boy Aktif Samun Dan Curi Kereta
Nibong
Tebal, 13 Dis - Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun dan curi
kenderaan yang dikenali sebagai 'Geng Ah Boy' selepas tertangkapnya
ketua kumpulan itu dalam satu serbuan pada 6 Dis lepas.
Ketua
Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata
berdasarkan maklumat awal dan risikan, pihaknya menyerbu sebuah bilik
hotel bajet di Simpang Ampat pada pukul 6 pagi.
"Dalam
serbuan itu kita menahan empat lelaki termasuk ketua kumpulan berkenaan
dan hasil pemeriksaan polis menemui sebuah kereta Toyota Altis yang
dipercayai digunakan kumpulan berkenaan untuk menjalankan kegiatan
samun.
"Pemeriksaan
lanjut dalam kereta itu, kita turut menemui sebilah parang panjang dan
sebatang rotan serta beberapa paket plastik lutsinar dipercayai
mengandungi dadah jenis syabu," katanya pada sidang akhbar, di sini hari
ini.
Katanya
hasil siasatan lanjut polis berjaya menemui semula empat lagi kenderaan
iaitu dua buah jenis Proton Perdana dan masing-masing sebuah Proton Waja
dan Proton Satria yang dilaporkan hilang di Bukit Merajam, Tanjong
Tokong dan Bandar Baharu Kulim, Kedah baru-baru ini.
Shafien berkata polis percaya kumpulan itu aktif menjalankan kegiatan samun dan curi kereta di sekitar daerah negeri ini.
"Kesemua
kenderaan yang ditemui itu diletakkan di beberapa lokasi sekitar daerah
ini dan hanya akan digunakan ketika mereka melakukan jenayah," katanya.
Beliau
berkata siasatan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah
lampau berkaitan kes samun dan dadah, manakala ketua kumpulan yang
berusia 33 tahun itu turut dikehendaki oleh polis berkaitan kes samun.
"Kesemua
mereka berusia 20 hingga 36 tahun direman selama seminggu dan polis
percaya dengan tertangkapnya mereka polis berjaya menyelesaikan beberapa
kes samun dan curi kereta," katanya.
Beliau
berkata usaha mengesan anggota kumpulan berkenaan giat dijalankan dan
kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan
melakukan samun berkawan dan samun bersenjata.
Sumber : BERNAMA