Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tumpas African Scam Tahan Dua Lelaki Nigeria

Diterbitkan: 06 Nov 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan membabitkan warga Afrika (African Scam) dengan penahanan dua lelaki Nigeria di sekitar Subang Jaya, dekat sini semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tumpas-african-scam-tahan-dua-lelaki-nigeria
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 18:47 MYT

Kuala Lumpur, 6 Nov - Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan membabitkan warga Afrika (African Scam) dengan penahanan dua lelaki Nigeria di sekitar Subang Jaya, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji berkata suspek pertama ditahan pada pukul 7 pagi dan susulan daripada itu polis menahan seorang lagi rakannya di sebuah kondominium di Subang.

"Suspek yang berumur 28 dan 35 tahun itu telah menetap di negara ini lebih enam tahun dan merupakan pelajar kolej swasta di Kuala Lumpur.

"Polis turut merampas empat komputer riba dan tujuh telefon bimbit pelbagai jenama selain wang tunai RM5,000 yang dipercayai sebahagian hasil kegiatan jenayah mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengesan suspek berdasarkan laporan yang diterima daripada seorang lelaki yang didakwa tertipu dalam kes itu baru-baru ini.

"Mangsa yang bekerja sebagai jurutera syarikat minyak mendakwa dia terpedaya dengan seorang wanita yang mendakwa berasal dari United Kingdom yang dikenali sebagai 'Saltina' menerusi laman sosial Facebook.

"Mangsa mendakwa suspek kononnya telah menghantar bungkusan mengandungi laptop, Ipad, sut dan kemeja T serta wang tunai berjumlah 200,000 pound yang mana barangan itu telah ditahan kastam," katanya.

Habibi berkata bagi memperoleh barangan itu, pengadu diminta membayar cukai kastam serta harga barangan muatan lebih sebanyak RM47,730 secara berperingkat melalui akaun bank milik seorang lelaki bernama 'James'.

"Mangsa kemudian rasa tertipu apabila tiada barangan seperti yang dinyatakan suspek selepas dia menjelaskan bayaran cukai tersebut," katanya.

Habibi berkata kesemua suspek kini direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 06 Nov 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM