Polis Tubuh Pasukan Bermotosikal Khas Banteras Jenayah
Oleh : Kpl Shareel bin Shahriman
POLIS TUBUH PASUKAN BERMOTOSIKAL KHAS, BANTERAS JENAYAH
KUALA LUMPUR, 19 Sept - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan bermotosikal khas sebagai strategi baharu polis dalam Ops Cantas Khas untuk membendung kegiatan jenayah terutama kongsi gelap.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Abd Jalil Hasan berkata elemen baharu itu adalah sebagai langkah mengekang kegiatan jenayah di kawasan 'panas' selain mempercepatkan tindakan polis jika berhadapan kejadian jenayah.
Beliau berkata motosikal jenis 'scrambler' dipilih kerana memudahkan rondaan di kawasan-kawasan yang sukar dilalui kereta selain di lorong-lorong yang berpotensi berlaku jenayah.
"Ia merupakan elemen baharu yang diterapkan dalam Ops Cantas Khas bertujuan mengembalikan kepercayaan masyarakat di samping mewujudkan suasana selamat di kawasan-kawasan panas," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pondok polis pusat membeli-belah Berjaya Times Square, di sini hari ini.
Beliau berkata pasukan bermotosikal yang turut dibantu pasukan trafik itu akan beroperasi dalam dua fasa waktu dengan tumpuan pada waktu puncak iaitu dari 8 hingga 10 pagi dan 3 hingga 7 petang. Pada peringkat permulaan pasukan itu akan beroperasi di sekitar Lembah Klang sebelum ia diperluaskan ke negeri lain bagi menurunkan kadar jenayah secara drastik.
Mengenai penurunan kadar jenayah selepas Ops Cantas dilancar 17 Ogos lepas, beliau berkata indeks jenayah seluruh negara turun kepada 9.1 peratus berbanding sebelum operasi itu dilancar.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tidak henti-henti menyalurkan maklumat kepada polis, dengan maklumat yang disalurkan membolehkan polis membanteras jenayah habis-habisan," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata sehingga hari ini sebanyak 223,879 orang diperiksa dalam Ops Cantas terdiri daripada 106,525 Melayu, 50,307 Cina dan 18,537 India dan daripada jumlah itu 9,340 orang ditahan iaitu 4,031 Melayu, 1,162 Cina dan 2,547 India.

YDH SAC Datuk Abd Jalil Hasan menunjukkan Pasukan Bermotosikal Khas kepada media

YDH SAC Datuk Abd Jalil Hasan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman semasa sidang media