Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tingkat Pemantauan Elak Ancaman Kumpulan Daesh

Diterbitkan: 01 Feb 2016 8.51 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuala Terengganu, 1 Feb - Polis akan terus mempertingkatkan kawalan dan pemantauan bagi memastikan elemen negatif termasuk kumpulan pengganas Daesh tidak berlaku di negeri ini, kata Ketua Polis Negeri, Dato' Rosli Ab Rahman.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tingkat-pemantauan-elak-ancaman-kumpulan-daesh
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 20:57 MYT


Kuala Terengganu, 1 Feb - Polis akan terus mempertingkatkan kawalan dan pemantauan bagi memastikan elemen negatif termasuk kumpulan pengganas Daesh tidak berlaku di negeri ini, kata Ketua Polis Negeri, Dato' Rosli Ab Rahman.

Katanya, lokasi-lokasi tumpuan adalah seperti pintu masuk negeri sama ada laut, darat dan udara selain lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi seperti di kawasan perindustrian petroleum, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan bangunan kerajaan.

Menurutnya, tindakan itu susulan pengumuman Ketua Polis Negara mengenai amaran keselamatan negara yang kini berada pada tahap tertinggi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu obses dengan kemudahan media sosial dengan menyebar maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjerumuskan mereka dengan perbuatan negatif.

"Sikap terlalu obses dengan media sosial boleh mendatangkan kesan tidak baik kerana ia mampu mengubah corak pemikiran dan mentaliti seseorang sehingga ada yang sanggup melanggar undang-undang dan syariat Islam.

Ia bukan sahaja boleh mengancam keselamatan negara tetapi juga diri sendiri dan keluarga," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Sebagai contoh, penglibatan rakyat Malaysia termasuk pelajar dalam kegiatan pengganas Daesh berlaku disebabkan terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan melalui media sosial.

"Biarpun secara terang-terangan kegiatan itu adalah satu keganasan dan jelas ia bukan perjuangan yang berlandaskan syariat Islam namun menerusi pendekatan simpati dan empati yang disebarkan menerusi media sosial ia boleh mengubah pemikiran seseorang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rosli juga mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi dan sulit menerusi media sosial seperti Facebook dan Twitter kerana ia boleh mengundang padah kepada pengguna itu sendiri.

Katanya sebagai contoh, status seperti "sedang bersendirian di rumah" dan perkongsian alamat menerusi 'Google Map' akan memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanggung jawab untuk melakukan jenayah.

Jelasnya, fitnah dan maklumat kurang tepat atau palsu menerusi paparan gambar, video dan kenyataan sangat mudah tersebar menerusi medium media sosial dan diputarbelit menggunakan teknologi terkini bagi mengelirukan masyarakat.

"Dalam senario yang lebih teruk, ia akan menanam sentimen negatif seperti kebencian kepada individu, organisasi, bangsa dan agama," kata Rosli.

Justeru itu, katanya, polis akan memperbanyakkan lagi program bersama masyarakat dalam memberi kesedaran terhadap penyalahgunaan media sosial termasuk pendedahan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 01 Feb 2016 8.51 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM