Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Terengganu Bongkar Kegiatan Dadah Berselindung Atas Rumah Rakit Bot Nelayan

Diterbitkan: 06 May 2016 12.11 PM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.27 PM
Kuala Terengganu, 6 Mei 2016-- Polis Terengganu membongkar kegiatan penagihan dan pengedaran dadah yang berselindung di atas bot dan rumah rakit di sekitar kawasan sungai Seberang Takir, di sini, semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-terengganu-bongkar-kegiatan-dadah-berselindung-atas-rumah-rakit-bot-nelayan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 07:51 MYT
Kuala Terengganu, 6 Mei 2016 - Polis Terengganu membongkar kegiatan penagihan dan pengedaran dadah yang berselindung di atas bot dan rumah rakit di sekitar kawasan sungai Seberang Takir, di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, pihaknya memberkas seramai 11 penagih dan dua daripada mereka berasal dari Thailand. 

Katanya dalam operasi yang bermula pukul 6.30 pagi hingga 4 petang itu, pihaknya turut merampas dadah dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM4,000. 

"Hasil maklumat dan risikan yang dijalankan kita berjaya membongkar kegiatan ini yang dipercayai telah bersarang sejak tahun lalu dan menjadikan rumah rakit dan bot sebagai tempat melepaskan gian. 

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot dan rumah rakit tersebut kita menemui sebanyak 116 biji pil kuda, empat botol serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin seberat 17 gram, ubat batuk sebanyak 250ml," katanya dalam sidang media, di sini hari ini. 

Menurutnya dalam operasi yang disertai sembilan pegawai dan anggota itu turut merampas sejumlah wang tunai bernilai RM1,114 dipercayai hasil jualan dadah. 

 Pihaknya percaya kegiatan yang didalangi seorang lelaki tempatan berusia sekitar 20-an itu menyasarkan golongan nelayan dan penduduk setempat. 

"Ketika serbuan, ada di antara penagih bertindak terjun ke dalam sungai termasuk lelaki yang dipercayai tokan dadah bagi meloloskan diri...kita telah mengenal pasti individu berkenaan dan gerakan memburu sedang dijalankan. 

"Majoriti mereka yang ditahan ini bekerja sebagai nelayan termasuk dua warga asing yang berusia 30-an itu," katanya. 

 Difahamkan, rumah rakit dan bot nelayan itu diletakkan secara bersebelahan kira-kira 25 meter dari daratan. 

Idris berkata hasil ujian saringan air kencing ke atas mereka yang berusia 28 hingga 48 tahun mendapati positif dadah jenis methamphetamine. 

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 12 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B,39 A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu telah memberkas seramai 1,666 orang penagih berbanding tempoh yang sama tahun lalu hanya 892 orang.- BERNAMA 
ArtikelDiterbitkan 06 May 2016 12.11 PMDikemas kini 15 Aug 2026 7.27 PM