Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Simpang Renggam, Kluang, susulan daripada penemuan 203 butir peluru .38 special, pada 11 Disember lalu.
Ketua
Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, turut ditahan
bersama lelaki terbabit adalah pasangannya yang juga seorang wanita
berusia 29 tahun.
Menurutnya,
hasil daripada siasatan lanjut ke atas pasangan terbabit dan kenderaan
dinaiki, pihaknya menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver .38 berserta
tujuh butir peluru dan satu kelongsong peluru.
“Bertindak
atas maklumat, polis menjumpai dua kotak mengandungi beberapa butir
peluru di dalam sebuah bilik di Jalan Belibis, Taman Perling, di sini.
“Hasil
pemeriksaan lanjut yang dijalankan, polis menemui 203 butir peluru .38
special. Susulan daripada maklumat berkenaan, polis menahan seorang
lelaki dan wanita di R&R Simpang Renggam.
“Polis
menemui sepucuk pistol berserta peluru dan kelongsong peluru. Turut
dirampas enam paket dadah seberat tiga gram,” katanya pada sidang akhbar
di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.
Mohd
Mokhtar berkata, pasangan terbabit juga didapati positif dadah jenis
Syabu dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta
Dadah Berbahaya 1952.
Selain
itu, katanya, atas kesalahan memiliki pistol terbabit, suspek disiasat
di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara
sehingga tujuh tahun dan denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit
kesalahan.
“Hasil
daripada pemeriksaan, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan
akan ditahan reman sehingga 14 Disember ini (hari ini),” katanya.

