Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Tembak Lelaki Bebas Kanak Kanak Perempuan Jadi Tebusa

Published: 16 Jun 2014 8.57 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis melepaskan empat das tembakan ke arah seorang lelaki bagi membebaskan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang dijadikan tebusan di sebuah rumah di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tembak-lelaki-bebas-kanak-kanak-perempuan-jadi-tebusa
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 13:15 MYT

KUALA LUMPUR, 23 Januari 2012 (Bernama) -- Polis melepaskan empat das tembakan ke arah seorang lelaki bagi membebaskan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang dijadikan tebusan di sebuah rumah di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata langkah itu terpaksa diambil setelah lelaki terbabit, yang berumur 34 tahun, bertindak agresif ketika proses rundingan.

"Tembakan tersebut terkena pada rusuk kiri suspek, bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan dan kedua-dua mereka dibawa ke HKL (Hospital Kuala Lumpur) manakala mangsa dirawat bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang kecederaan fizikal semasa dikurung," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata dalam kejadian 10 pagi itu, polis menjalankan rundingan dengan turut memanggil pakar psikiatri HKL dan seorang rakan suspek untuk memujuk lelaki berkenaan, namun dia bertindak lebih agresif.

"Suspek sebelum itu secara tiba-tiba meluru masuk ke dalam rumah terbabit dan mengambil pisau di dapur sebelum menahan mangsa dan mengacukan pisau itu ke leher mangsa yang ketika itu sedang menonton televisyen bersama ibu, adik serta dua lagi sepupunya.

"Suspek kemudian mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya ada yang cuba menghampirinya, sebelum membawa mangsa masuk ke dalam bilik serta mengurungnya dan menutup bilik itu dari dalam," katanya.

Zulkarnain berkata ruang bilik yang agak kecil menyukarkan anggota polis kerana suspek boleh bertindak dengan pantas jika berasa dirinya terancam.

Beliau berkata semasa proses rundingan, suspek tidak menuntut sebarang wang tebusan sebaliknya hanya meminta agar dia tidak diapa-apakan, selain air dan dadah.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod rawatan psikiatri namun pernah memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes samun," kata beliau.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Syafrudin, 47, berkata ketika kejadian, dia berada dalam satu daripada dua bilik di rumah itu manakala isteri, anak serta anak saudaranya di ruang tamu menonton televisyen.

ArticlePublished 16 Jun 2014 8.57 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM