Polis Tawau Berjaya Capai Kpi Tahun Lepas
Tawau,
7 Jan - Polis Tawau berjaya mengawal keselamatan dan ketenteraman awam
sekali gus mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) lima peratus yang
ditetapkan tahun lepas, kata Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar
Dullah.
Beliau
berkata kadar jenayah juga berjaya dikurangkan sebanyak 5 peratus
manakala kejadian pecah rumah turun 8 peratus dan pendakwaan meningkat
5.3 peratus pada tahun lepas.
"Saya
ucapkan terima kasih kepada semua anggota yang telah bertungkus lumus
bekerja dan memberi perkhidmatan kepada rakyat dalam usaha mengurangkan
kadar jenayah," katanya pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Tawau hari ini.
Sehubungan
itu, Awang Besar meminta seluruh warga PDRM di daerah ini memulakan
tugas pada tahun 2014 dengan semangat serta azam baharu dalam memberi
perkhidmatan lebih cemerlang.
Pada
perhimpunan bulanan pertama bagi tahun ini, sejumlah 13 pegawai dan
anggota menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Jabatan Jenayah
Komersial Bukit Aman atas kecemerlangan yang ditunjukkan mereka manakala
42 anggota serta pegawai lain menerima sijil penghargaan daripada IPD
Tawau.
Sumber : BERNAMA