Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tangkap Lelaki Bersama 390 Pil Kuda Dan Syabu

Diterbitkan: 12 Mar 2015 9.18 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuantan, 12 Mac - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas polis berhampiran sebuah hotel di Jalan Wong Ah Jang dekat sini, hari ini.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tangkap-lelaki-bersama-390-pil-kuda-dan-syabu
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 01:22 MYT
Kuantan, 12 Mac - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas polis berhampiran sebuah hotel di Jalan Wong Ah Jang dekat sini, hari ini.

Suspek yang berusia 30-an itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan anggota polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuantan pada 2.15 pagi dalam rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, pemeriksaan ke atas lelaki itu polis menemui 390 pil kuda, satu paket serbuk ketulan jernih dipercayai syabu dan sebuah alat penimbang digital di dalam beg pinggang yang dipakai suspek.

"Polis percaya suspek menjalankan aktiviti pengedaran dadah itu di bandar ini dan aktif beberapa bulan lepas," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan turut memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Katanya, suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain katanya, polis juga berjaya menemui sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang disyaki dicuri di Lorong Karyawan 21, dekat Taman Guru di sini pada 3 petang semalam.

"Pemeriksaan ke atas motosikal itu mendapati tiada nombor pendaftaran manakala suis kunci serta tempat duduknya pula rosak.

"Semakan awal juga mendapati motosikal itu telah dilaporkan hilang di IPD Kuantan, awal tahun ini," katanya.

Abdul Aziz berkata, usaha memberkas suspek dengan membuat pemerhatian dari jauh selama lebih sejam gagal sebelum motosikal tersebut dibawa balik ke IPD Kuantan untuk tindakan lanjut.

"Polis kini giat mengesan suspek terlibat dan percaya dia akan dapat ditangkap tidak lama lagi," katanya.- BERNAMA
ArtikelDiterbitkan 12 Mar 2015 9.18 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM