Polis Tahan Tujuh Lelaki Berhubung Kehilangan 23 Tan Metrik
PETALING
JAYA, 18 Januari 2012 (Bernama) -- Polis menahan tujuh lelaki, termasuk
seorang pengawal keselamatan dan pemandu lori sebuah kilang gula
berhubung kehilangan 23 tan metrik gula di Shah Alam, Ahad lepas.
Ketua
Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata empat pekerja kilang
yang dipercayai "orang dalam" membawa keluar gula tersebut, turut
ditahan polis dalam tangkapan pada 16 Jan itu.
"Hasil
siasatan seterusnya membawa polis ke sebuah gudang persendirian di
Telok Panglima Garang, Kuala Langat sebelum menahan pemilik gudang itu
pada 17 Jan serta menemui tiga tan metrik lagi gula di gudang tersebut,"
katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Yahaya berkata kesemua mereka berumur 23 hingga 34 tahun direman selama empat hari bermula semalam.
Beliau
berkata kehilangan gula itu di stor penyimpanan gudang terbabit
disedari seorang pengurus sumber manusia di kilang itu sebelum membuat
laporan polis.
Yahaya
berkata hasil siasatan ke atas kesemua lelaki yang dikenali sebagai
"Geng Semut" itu mendapati salah seorang daripada mereka memiliki rekod
jenayah lampau berhubung kes curi dan narkotik.
Katanya
kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan (curi oleh orang
gaji) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh
dikenakan denda.
Beliau
berkata polis tidak menolak kemungkinan gula yang dibawa keluar
tersebut sudah mempunyai pembeli dan dipercayai untuk dipasarkan sempena
perayaan Tahun Baru Cina.
"Kita
percaya gula ini dibawa keluar pada waktu malam selepas kilang sudah
tamat beroperasi dan berkemungkinan ia untuk dipasarkan kepada orang
tengah berdasarkan siasatan kita," katanya.
Katanya,
polis juga percaya gula tersebut dibawa keluar menggunakan lori
persendirian hasil bantuan orang dalam kerana tiada kesan-kesan
pencerobohan yang ditemui.
Kerugian dianggarkan kira-kira RM60,000, katanya.