Polis Tahan Tiga Perompak Selepas Kereta Terbabas
Ledang, 25 Mei - Polis menahan tiga perompak selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh tiang elektrik gara-gara panik melihat sekatan jalan raya di Jalan Sagil-Segamat di sini pada 13 Mei lepas.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Mohamad Salleh Abd Razak berkata dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari itu, kereta jenis Naza Citra yang dinaiki tiga lelaki itu cuba berpatah balik namun terbabas dan melanggar tiang elektrik.
"Ketika itu mereka baru sahaja merompak sebuah keluarga di Kampung Serom 3, Sungai Mati di sini dan cuba melarikan diri ke arah Segamat.
"Ketika melihat sekatan jalan raya kenderaan itu cuba berpatah balik namun terbabas dan melanggar tiang elektrik," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohamad Salleh berkata ketiga-tiga perompak berumur antara 33 dan 34 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan tetapi salah seorang daripada mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
Katanya, siasatan polis dalam kenderaan itu menemui dua bilah parang, tiga kuku kambing, tiga telefon bimbit, tiga penutup muka, enam pasang sarung tangan, tiga topi, dua pemutar skru dan wang tunai RM1,300.
Menurutnya polis kini sedang memburu seorang lagi rakan mereka yang berjaya melepaskan diri dengan sebuah kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA