Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Tiga Lelaki Tumpas Geng Samun Kedai Serbaneka Di Shah Alam

Diterbitkan: 13 Oct 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis menumpaskan satu kumpulan samun kedai serbaneka dan restoran 24 jam dengan penahanan tiga lelaki dalam dua serbuan di sekitar daerah ini pada Khamis dan Jumaat lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-tiga-lelaki-tumpas-geng-samun-kedai-serbaneka-di-shah-alam
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 14:10 MYT

Shah Alam, 13 Okt - Polis menumpaskan satu kumpulan samun kedai serbaneka dan restoran 24 jam dengan penahanan tiga lelaki dalam dua serbuan di sekitar daerah ini pada Khamis dan Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata tiga suspek yang berusia 17 dan 20 tahun itu diberkas di dua rumah kira-kira pukul 7 petang.

"Suspek pertama yang merupakan suspek utama dikenali sebagai 'Jude', berusia 17 tahun ditahan di sebuah rumah di Seksyen 2, Khamis lepas.

"Susulan penahanan itu, polis kemudian memberkas dua lagi rakannya di sebuah rumah di kawasan berdekatan pada keesokkan hari (Jumaat)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata berikutan penahanan tiga suspek itu, polis merampas beberapa telefon bimbit yang dipercayai hasil daripada kegiatan jenayah kumpulan tersebut.
ACP Shafien berkata hasil siasatan mendapati kumpulan itu terlibat dalam empat kes samun membabitkan kedai serbaneka dan restoran di sekitar Shah Alam sejak dua bulan lepas.

"Modus operandi kumpulan ini ialah masuk ke kedai serbaneka atau restoran 24 jam dengan memakai helmet 'full face' serta berpura-pura membeli barang atau rokok sebelum melakukan samun dengan bersenjatakan pistol mainan.

"Mereka ini melakukan kegiatan jenayah mereka pada awal pagi berikutan waktu itu tidak ramai orang di lokasi yang disasarkan," katanya.
Kesemua suspek itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 13 Oct 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM