Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Tiga Lelaki Susulan Kes Gaduh Pukul

Diterbitkan: 17 Jun 2014 7.27 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.44 PM
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohamad Shukor Sulong berkata ketiga-tiga lelaki berusia 24, 35 dan 33 tahun itu ditahan berasingan di Jeram, Kuala Selangor, dan Klang Utama, Klang...
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-tiga-lelaki-susulan-kes-gaduh-pukul
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 12:29 MYT

KLANG, 13 Julai - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan antara dua kumpulan di Flat Rebana, Bandar Baru Bukit Raja, Kapar, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohamad Shukor Sulong berkata ketiga-tiga lelaki berusia 24, 35 dan 33 tahun itu ditahan berasingan di Jeram, Kuala Selangor, dan Klang Utama, Klang.

Ketiga-tiga suspek ditahan antara 10 malam dan 12 tengah malam tadi. Dua daripada mereka diberkas di sebuah rumah di Jeram manakala seorang lagi ditahan di tepi jalan di kawasan Klang Utama.

"Seorang daripada suspek yang ditahan itu merupakan individu yang dikehendaki polis kerana disyaki memukul seorang lelaki dalam pergaduhan itu," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 malam itu, sekumpulan lelaki yang sedang berbual di kawasan flat itu diserang sekumpulan lelaki lain dipercayai bersenjatakan parang, kayu dan besi.

Berikutan kejadian itu, dua lelaki berumur lingkungan 20-an cedera parah di kepala serta beberapa anggota badan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Mohamad Shukor berkata pergaduhan itu berpunca daripada salah faham susulan satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta pada Rabu di sini, dan bukan disebabkan faktor perkauman seperti yang dihebah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Dua suspek yang ditahan itu direman empat hari bermula hari ini manakala seorang lagi direman sehari... polis juga masih mengesan seorang lagi suspek yang merupakan rakan kepada tiga lelaki yang ditahan malam tadi, yang kita percaya turut terlibat dalam kejadian itu," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan. 

Sumber : BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 17 Jun 2014 7.27 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.44 PM