Polis Terus Banters Judi Siber
KUCHING:
Kegiatan perjudian siber terus dibanteras dengan sebuah lagi premis
diserbu serta 11 buah komputer dirampas dalam satu operasi, awal pagi
semalam.
Operasi
oleh sepasukan polis dari Unit Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme
(D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching itu dijalankan di Pusat
Komersil Central Park di sini dari jam 12 tengah malam kelmarin hingga 1 pagi semalam.
Menurut
jurucakap polis, dalam operasi tersebut, sebuah premis diserbu dengan
10 lelaki tempatan ditahan yang terdiri daripada seorang pekerja dan
sembilan pelanggan berusia antara 20 dan 50 tahun.
“Pihak
polis turut merampas 11 buah komputer selain menahan kesemua pekerja
dan pelanggan dari premis tersebut untuk disoal siasat,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Mesin Perjudian Berkomputer).
Sementara
itu, pasukan D7 tersebut juga menahan tiga lelaki tempatan atas
kesalahan menceroboh tanah di Kampung Gobilt di sini petang kelmarin.
Selain itu, turut dirampas sebuah lori yang penuh dengan muatan (tanah) untuk membantu siasatan.
Difahamkan,
ketiga-tiga lelaki berkenaan yang terdiri daripada dua pemandu lori dan
seorang pemandu jentera berat berusia antara 30 dan 50 tahun.
Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.
Sumber : Utusan Borneo