Polis Tahan Tiga Lelaki Susulan Kes Gaduh Pukul
KLANG,
13 Julai - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam
pergaduhan antara dua kumpulan di Flat Rebana, Bandar Baru Bukit Raja,
Kapar, Khamis lepas.
Ketua
Polis Daerah Klang Utara ACP Mohamad Shukor Sulong berkata ketiga-tiga
lelaki berusia 24, 35 dan 33 tahun itu ditahan berasingan di Jeram,
Kuala Selangor, dan Klang Utama, Klang.
Ketiga-tiga
suspek ditahan antara 10 malam dan 12 tengah malam tadi. Dua daripada
mereka diberkas di sebuah rumah di Jeram manakala seorang lagi ditahan
di tepi jalan di kawasan Klang Utama.
"Seorang
daripada suspek yang ditahan itu merupakan individu yang dikehendaki
polis kerana disyaki memukul seorang lelaki dalam pergaduhan itu,"
katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.
Dalam
kejadian kira-kira 10.45 malam itu, sekumpulan lelaki yang sedang
berbual di kawasan flat itu diserang sekumpulan lelaki lain dipercayai
bersenjatakan parang, kayu dan besi.
Berikutan
kejadian itu, dua lelaki berumur lingkungan 20-an cedera parah di
kepala serta beberapa anggota badan dan kini dirawat di Hospital Tengku
Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Mohamad
Shukor berkata pergaduhan itu berpunca daripada salah faham susulan
satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta pada Rabu di
sini, dan bukan disebabkan faktor perkauman seperti yang dihebah melalui
khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Dua
suspek yang ditahan itu direman empat hari bermula hari ini manakala
seorang lagi direman sehari... polis juga masih mengesan seorang lagi
suspek yang merupakan rakan kepada tiga lelaki yang ditahan malam tadi,
yang kita percaya turut terlibat dalam kejadian itu," katanya sambil
menambah kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan.
Sumber : BERNAMA