Polis Tahan Seorang Lelaki Terlibat Kes Samun Kereta Sekitar
KUALA LUMPUR 23 Ogos
(Bernama) -- Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa kes
samun kenderaan di sekitar Sentul, ditahan polis di Kampung Chubadak,
pada hari Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP
Zakaria Pagan berkata suspek yang berumur 28 tahun itu ditahan kira-kira
pukul 2 pagi selepas kereta jenis Proton Wira yang dipandunya melanggar
sebuah rumah di kampung tersebut ketika cuba melarikan diri daripada
polis.
"Suspek dan seorang rakannya sebelum itu
dikatakan berlegar-legar di kawasan Sri Rampai di sini. Selepas
menerima maklumat orang ramai, sebuah kereta peronda polis tiba dan
mengarahkan mereka berhenti," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun
katanya, suspek enggan berbuat demikian dan memecut kereta tersebut ke
arah Dang Wangi sebelum berpatah balik ke kawasan Sentul.
"Polis
yang mengejar kemudian melepaskan beberapa das tembakan amaran ke udara
dan meminta suspek berhenti, namun tidak diendahkan suspek yang
kemudian gagal mengawal keretanya lalu terbabas sebelum melanggar sebuah
rumah," katanya.
Zakaria berkata polis berjaya menahan suspek, manakala rakannya melarikan diri.
Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu suspek dilaporkan dicuri di Dang Wangi beberapa hari lalu, katanya.
"Suspek
mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan polis percaya dengan
tertangkapnya suspek beberapa kes samun kenderaan di sekitar Sentul
berjaya diselesaikan," katanya.
Suspek kini
ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.
Beliau berkata pihaknya kini memburu rakan suspek yang berjaya melarikan diri itu.