Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Tahan Seorang Lelaki Dan Enam Wanita Kendali Pusat Pertaruhan Judi Haram

Published: 23 Apr 2015 8.32 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Johor Bahru, 23 April - Kegiatan seorang lelaki dan enam wanita yang menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Sri Gading, Batu Pahat sebagai pusat mengumpul dan mengira pertaruhan judi empat nombor ekor haram, terbongkar apabila polis menyerbu rumah berkenaan, Ahad lepas.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-seorang-lelaki-dan-enam-wanita-kendali-pusat-pertaruhan-judi-haram
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 21:12 MYT

 

Johor Bahru, 23 April - Kegiatan seorang lelaki dan enam wanita yang menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Sri Gading, Batu Pahat sebagai pusat mengumpul dan mengira pertaruhan judi empat nombor ekor haram, terbongkar apabila polis menyerbu rumah berkenaan, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, dalam serbuan pada sebelah malam itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk lima komputer riba, 12 telefon bimbit, 12 mesin kira-kira dan 99 keping kertas yang tercatit angka-angka disyaki empat nombor ekor haram.

Kata Ismail, sindiket itu yang aktif sejak dua tahun lepas di kawasan seperti Bandar Batu Pahat, Jalan Kluang, dan Sri Gading menerima pertaruhan kira-kira RM500,000 sehari dan RM5 juta sebulan.

"Dalam serbuan hasil risikan dan maklumat orang awam itu, polis menahan seorang lelaki dan enam perempuan tempatan berusia antara 26 dan 52 tahun kerana disyaki menjalankan kegiatan berkenaan.

"Selain itu, polis turut menahan seorang wanita warga asing berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah di rumah tersebut kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa," kata Ismail pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati, kesemua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kini telah ditahan reman tiga hari bermula 20 April.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih dari RM200,000 dan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

Dalam perkembangan lain, Ismail memberitahu, polis juga menemui semula sebuah lori kargo membawa muatan cerucuk besi bernilai RM175,000 yang disamun di kawasan Skudai, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, penemuan itu susulan tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat kes berkenaan, di Skudai pada hari yang sama.

"Ekoran daripada tangkapan tersebut, polis sekali lagi melakukan beberapa siri tangkapan ke atas tiga lelaki dan seorang perempuan di Taman Sri Pulai, Skudai.

"Mereka ini, berumur antara 26 dan 43 tahun berasal dari Johor dan Kedah," kata beliau dan menambah, selain menemui lori disamun, polis juga merampas 25 buah telefon bimbit, sebuah motosikal Honda EX5, sebuah lori jenis Nissan, sebuah kereta Proton Saga dan peralatan tulis yang dicuri serta disamun di pelbagai tempat.

Ismail percaya, dengan ditangkap kesemua suspek, polis berjaya
menyelesaikan empat kes, namun masih berharap dapat mengesan saki baki suspek yang terlibat.

Sementara itu, pada sidang media sama, Ismail memberitahu seorang lelaki yang ditahan di kawasan sebuah apartment di Plentong, di sini Isnin lepas kerana disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah, akan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek berusia 47 tahun pernah disabitkan kes dadah beberapa tahun lalu namun kini aktif semula.

"Dalam operasi Isnin, polis berjaya merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama 13 butir peluru hidup, dua silinder dipercayai bahan letupan, 32.62 gram dadah jenis syabu dan 359.61 gram serbuk putih disyaki kafein.

"Nilai rampasan bagi dadah syabu dan kafein yang dipercayai untuk kawasan Johor Baharu itu adalah masing RM16,000 dan RM1,000," kata beliau, dan menambah kes disiasat di bawah pelbagai Seksyen termasuk Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.- BERNAMA

ArticlePublished 23 Apr 2015 8.32 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM