Polis Tahan Sembilan Lelaki Cuba Curi Transformer Tnb Bernil
Bukit
Mertajam, 27 Ogos - Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB)
menggagalkan cubaan mencuri sebuah transformer bernilai RM70,000 milik
TNB di pencawang utama Kawasan Perusahaan Perai, semalam dan menahan
sembilan suspek lelaki.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata kejadian itu disedari anggota
polis bantuan TNB yang meronda kawasan itu pukul 10.15 malam apabila
ternampak cahaya terang di pencawang itu sebelum memeriksa.
Sebahagian
daripada kumpulan lelaki sembilan orang itu memakai ves berlogo TNB
bagi mengaburi orang ramai semasa menjalankan kegiatan itu.
"Sepasukan
polis bantuan TNB yang kebetulan berada di kawasan berkenaan merasa
hairan selepas melihat cahaya terang dari pencawang berkenaan dan segera
bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
"Dalam
masa sama anggota polis bantuan berkenaan membuat semakan dengan pihak
pengurusan TNB Seberang Perai Tengah (SPT) namun mereka dimaklumkan
tiada urusan membawa keluar transformer dan ketika ditahan kumpulan itu
sedang membawa keluar transformer itu menggunakan sebuah treler,"
katanya.
Mazlan berkata polis bantuan TNB menahan kesemua suspek berumur 30 hingga 42 tahun dan menyerahkan mereka kepada polis.
Polis
percaya transformer itu dicuri untuk dijual kepada pihak tertentu dan
siasatan juga mendapati sebahagian lelaki yang ditahan itu mempunyai
rekod jenayah berkaitan curi.
Semua suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sumber : BERNAMA