Polis Tahan Pemandu Treler Dakwa Treler Muatan 20 Tan Besi D
Muar, 30 Julai - Polis berjaya menahan seorang pemandu treler serta
dua rakannya dan menemui semula treler muatan 20 tan besi yang didakwa
dirompak di kawasan rehat Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara
dekat Pagoh di sini pada 19 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata polis yang mengesyaki laporan oleh
pemandu treler itu adalah palsu telah menjalankan siasatan dan berjaya
menahan ketiga-tiga mereka dalam serbuan di sebuah kilang besi di Ulu
Tiram, Johor Baharu, sehari selepas kejadian.
Bagaimanapun
hanya tiga tan daripada 20 tan besi itu yang dianggarkan bernilai
RM100,000 ditemui semula, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Pada
pukul 12 tengah hari 19 Julai lepas, seorang pemandu treler telah
membuat laporan polis mendakwa dia didatangi seorang lelaki bersenjata
pisau semasa sedang berhenti di kawasan rehat PLUS dekat Pagoh di sini.
"Mangsa
mendakwa telah diarah berpatah balik ke satu lokasi di Johor Baharu
dengan memandu lori membawa muatan penuh 20 tan besi yang hendak
dihantar ke Selangor itu," katanya.
Azman berkata siasatan mendapati pemandu berasal dari Selangor itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk satu kes rogol.
Dalam
kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di
Kluang, Johor, Khamis lepas dan merampas empat telefon bimbit termasuk
satu daripadanya mengandungi klip video lucah dirinya.
Katanya,
lelaki terbabit dipercayai bertanggungjawab ke atas satu kes samun
membabitkan seorang suri rumah berusia 20 tahun di Pagoh pada 16 Julai
lalu.
Sumber : BERNAMA