Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Pasangan Kekasih Rampas Pelbagai Dadah Bernilai Rm157 800

Diterbitkan: 22 Jun 2017 2.55 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
Tangkak, 22 Jun 2017 - Polis menahan sepasang kekasih dipercayai pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM157,800 dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Mati, di sini, semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-pasangan-kekasih-rampas-pelbagai-dadah-bernilai-rm157-800
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 26/09/2026 00:47 MYT

Tangkak, 22 Jun 2017 - Polis menahan sepasang kekasih dipercayai pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM157,800 dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Mati, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata lelaki tempatan berumur 30 tahun dan wanita rakyat Vietnam berumur 26 tahun itu ditahan pada 8 pagi selepas polis bertindak atas maklumat orang awam.

"Antara dadah yang dirampas adalah heroin yang dianggar seberat 4.4 kilogram, pil Eramin 5 (270 biji), syabu (103.2 gram), pil ecstacy (385 biji) dan ketamin (6.65 gram), " katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohad Idris berkata ujian air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

Beliau berkata siasatan mendapati dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran tempatan dan kegunaan pusat-pusat hiburan di sekitar Tangkak.

Katanya selain dadah, pihaknya turut merampas dua kereta, sebuah motosikal, pelbagai jenis plastik serta alat penimbang digital yang dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit.

"Kita percaya pasangan ini terlibat dalam kegiatan di sekitar Tangkak lebih tiga bulan lepas. Lelaki berkenaan mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah manakala wanita itu pula masuk ke negara ini secara sah pada hujung tahun lepas dan kalau ikutkan, dia akan pulang ke negara asalnya pada 25 Jun ini," katanya.

Mohad Idris berkata pasangan terbabit kini direman selama enam hari bermula hari ini hingga 27 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 22 Jun 2017 2.55 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM