Polis Tahan Lima Suspek Termasuk Mangsa Dalam Kes Culik Pals
SHAH
ALAM, 19 Ogos 2010 -- Polis menahan lima suspek termasuk seorang
"mangsa" yang dipercayai terbabit dalam kes merancang penculikan palsu
dengan memperdaya keluarga "mangsa" untuk membayar sejumlah wang tebusan
pada 7 Ogos lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mamah berkata kes berkenaan
bermula apabila seorang gadis berusia 17 tahun yang menuntut di Lembah
Klang mendakwa kepada keluarganya di sebuah negara di Timur Tengah
bahawa dia telah diculik oleh sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai
polis di sebuah restoran di kawasan Ampang pada 30 Julai lepas.
Beliau
berkata mangsa bersekongkol dengan suspek dengan meminta anggota
keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM100,000 kononnya bagi
membebaskannya.
"Keluarga
mangsa dikatakan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki
tidak dikenali yang mengatakan seorang ahli keluarga mereka berusia 17
tahun telah diculik.
"Sebagai
tebusan, suspek terbabit meminta keluarga mangsa menyediakan wang tunai
berjumlah RM100,000, bagaimanapun ia dikurangkan sehingga RM5,000
selepas beberapa perundingan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini Khamis.
Omar
berkata kesemua suspek yang berasal dari negara jiran dan berumur 24
hingga 29 tahun berjaya ditangkap pada 7 Ogos lepas sebaik "mangsa"
dibebaskan pada hari yang sama.
"Hasil
siasatan mendapati mangsa merancang bersama suspek membuat panggilan
kepada anggota keluarga mangsa di Malaysia dan Timur Tengah dengan
memperdaya mereka membayar wang tebusan ke dalam beberapa akaun bank di
Kuala Lumpur," katanya yang menambah suspek dan mangsa kenal antara satu
sama lain.
Omar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.