Polis Tahan Lima Anggota Sindiket Curi 51 Kereta Mewah Berni
SHAH
ALAM, 5 Mei (Bernama) -- Polis menahan lima anggota sindiket curi
kereta yang mengaku terbabit dalam 51 kes curi kenderaan mewah bernilai
RM12.6 juta di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Kelantan, dalam
beberapa serbuan sekitar sini antara 17 April hingga Selasa lepas.
Ketua
Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata semua lelaki yang
berumur antara 27 dan 48 tahun itu ditahan dalam Ops Lejang Mewah sejak
tiga bulan lepas.
Beliau
berkata semasa disoal siasat suspek mengaku terbabit dalam kes curi 23
buah Toyota Estima, Toyota Camry (10), Toyota Harrier (9), Toyota
Alphard (2), BMW X6 (4), serta masing-masing sebuah BMW X5, BMW 525 dan
BMW S Class, yang dibawa ke Thailand untuk dijual.
Menurutnya
sindiket itu mempunyai rangkaian antarabangsa dan dipercayai aktif
sejak tahun lepas, menjadikan kereta mewah yang diletakkan di hotel,
pasaraya dan tempat letak kereta tepi jalan sebagai sasaran.
"Berdasarkan
siasatan, kami difahamkan sindiket itu akan menerima tempahan dari
sindiket luar negara mengenai jenis kenderaan yang dikehendaki dan
sindiket di sini akan berusaha mendapatkannya," katanya pada persidangan
media di sini.
Tun
Hisan berkata polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan
untuk mencuri kereta, nombor plat, kunci kereta, drill, pemotong wayar,
kikir besi, playar, pemutar skru, spanar, pengesan arus elektrik dan
kabel.
Katanya
suspek didapati bergerak dalam kumpulan dan merancang dengan teliti bagi
memastikan kenderaan yang dicuri dapat dibawa keluar negara dalam masa
yang singkat.
Beliau
berkata dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu curi
kenderaan dan lari dari pusat pemulihan akhlak, dan menurutnya polis
sedang berusaha mengesan beberapa lagi saki baki anggota sindiket itu.