Polis Tahan Lelaki Guna Perniagaan Kafe Siber Untuk Aktiviti
Kangar,
6 Jan - Polis Perlis menahan seorang lelaki yang terlibat dalam
kegiatan Along atau peminjam wang secara haram dengan berselindung di
sebalik perniagaan kedai basikal dan kafe siber sejak lima tahun lepas.
Ketua
Polis Perlis SAC Datuk Zull Aznam Haron berkata lelaki berumur 36 tahun
itu ditahan di sebuah rumah di Taman Murni di sini pada 10.30 pagi 3
Jan lepas di bawah Op Cantas Khas hasil maklumat orang ramai.
Bercakap
kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata dalam
tangkapan itu, polis turut menjumpai pelbagai dokumen berkaitan kegiatan
Along termasuk milik kira-kira 80 peminjam yang masih aktif.
Zull
Aznam berkata kebanyakan peminjam adalah peniaga kecil di negeri ini
dan sempadan Kedah/Perlis yang disenarai hitam oleh bank.
Suspek
dikatakan memberi pinjaman hingga RM10,000 kepada para pelanggannya
dengan dikenakan faedah 20 peratus sementara bayaran dibuat secara
harian atau mingguan.
Kes
disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen
1951 (Pindaan 2011) manakala suspek ditahan reman hingga Selasa.
Jika
sabit kesalahan suspek boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak
lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan
bagi kesalahan kali kedua boleh dikenakan sebatan.
Zull
Aznam berkata pada 23 Dis lepas anggota polis dari Jabatan Siasatan
Jenayah Komersial bersama Majlis Perbandaran Kangar menurunkan 651
poster pinjaman Along di seluruh negeri.
Sumber : BERNAMA