Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Tahan Lelaki Disyaki Pembekal Pil Kuda Di Besut

Published: 17 Jun 2014 8.45 AM Updated: 15 Aug 2026 7.43 PM
Besut, 14 Ogos - Polis menahan seorang lelaki dan merampas 7,964 pil Methamphetamine (pil kuda) bernilai melebihi RM143,000 dalam sekatan jalan raya di Simpang Tiga Kampung Pinang di Kampung Raja di s..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-lelaki-disyaki-pembekal-pil-kuda-di-besut
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 11:24 MYT

Besut, 14 Ogos - Polis menahan seorang lelaki dan merampas 7,964 pil Methamphetamine (pil kuda) bernilai melebihi RM143,000 dalam sekatan jalan raya di Simpang Tiga Kampung Pinang di Kampung Raja di sini semalam.

Turut dirampas daripada mekanik berusia 21 tahun itu ialah wang tunai berjumlah RM940 yang dipercayai hasil jualan dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata ketika ditahan pada pukul 3.30 petang, lelaki terbabit dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah itu ke Setiu dan Hulu Terengganu.

"Kami percaya bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata polis menemui dadah yang diletakkan dalam empat bungkusan kertas itu di bawah kerusi kereta Proton Satria itu.

"Ketika kenderaannya diperiksa, suspek yang berasal dari Bachok, Kelantan itu hanya berdiam diri," katanya sambil memberitahu lelaki terbabit kini direman sehingga 20 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Noor Zainy berkata polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pecah masuk kedai runcit berhampiran Jeti Pulau Perhentian Kecil yang terlibat dalam kebakaran semalam.

Berikutan penahanan lelaki berusia 19 tahun dari Kampung Pulau Perhentian itu, polis merampas dua unit telefon bimbit, 64 keping kad prabayar telefon, 25 kotak rokok Dunhill, bekas air serta wang tunai RM1,127 yang dipercayai dicuri dari kedai runcit itu.

Semalam, kedai runcit itu adalah antara tiga kedai yang musnah dalam kebakaran dan siasatan awal polis mendapati sebuah daripada kedai itu dipecah masuk.

Noor Zainy berkata dalam Operasi Khas Jenayah Pulau Perhentian itu juga, polis menahan seorang lelaki berumur 30 tahun yang disyaki terbabit dalam kes kehilangan dua komputer riba dan tiga unit telefon bimbit kepunyaan pelancong.

Suspek merupakan seorang penagih dadah yang sering menjalankan kegiatannya di beberapa chalet di Pulau Perhentian Besar sejak beberapa hari lepas, katanya.
 
Sumber : BERNAMA

ArticlePublished 17 Jun 2014 8.45 AMUpdated 15 Aug 2026 7.43 PM