Polis Tahan Lelaki Disyaki Pembekal Pil Kuda Di Besut
Besut,
14 Ogos - Polis menahan seorang lelaki dan merampas 7,964 pil
Methamphetamine (pil kuda) bernilai melebihi RM143,000 dalam sekatan
jalan raya di Simpang Tiga Kampung Pinang di Kampung Raja di sini
semalam.
Turut dirampas daripada mekanik berusia 21 tahun itu ialah wang tunai berjumlah RM940 yang dipercayai hasil jualan dadah.
Timbalan
Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata ketika
ditahan pada pukul 3.30 petang, lelaki terbabit dipercayai dalam
perjalanan untuk menghantar bekalan dadah itu ke Setiu dan Hulu
Terengganu.
"Kami percaya bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata polis menemui dadah yang diletakkan dalam empat bungkusan kertas itu di bawah kerusi kereta Proton Satria itu.
"Ketika
kenderaannya diperiksa, suspek yang berasal dari Bachok, Kelantan itu
hanya berdiam diri," katanya sambil memberitahu lelaki terbabit kini
direman sehingga 20 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta
Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati
mandatori.
Sementara
itu dalam perkembangan lain, Noor Zainy berkata polis menahan seorang
lelaki bagi membantu siasatan kes pecah masuk kedai runcit berhampiran
Jeti Pulau Perhentian Kecil yang terlibat dalam kebakaran semalam.
Berikutan
penahanan lelaki berusia 19 tahun dari Kampung Pulau Perhentian itu,
polis merampas dua unit telefon bimbit, 64 keping kad prabayar telefon,
25 kotak rokok Dunhill, bekas air serta wang tunai RM1,127 yang
dipercayai dicuri dari kedai runcit itu.
Semalam,
kedai runcit itu adalah antara tiga kedai yang musnah dalam kebakaran
dan siasatan awal polis mendapati sebuah daripada kedai itu dipecah
masuk.
Noor
Zainy berkata dalam Operasi Khas Jenayah Pulau Perhentian itu juga,
polis menahan seorang lelaki berumur 30 tahun yang disyaki terbabit
dalam kes kehilangan dua komputer riba dan tiga unit telefon bimbit
kepunyaan pelancong.
Suspek
merupakan seorang penagih dadah yang sering menjalankan kegiatannya di
beberapa chalet di Pulau Perhentian Besar sejak beberapa hari lepas,
katanya.
Sumber : BERNAMA