Polis Tahan Lelaki Disyaki Mahu Curi Kereta
Kuantan, 2 April - Polis memberkas seorang lelaki yang dipercayai mahu mencuri sebuah kereta di sebuah rumah di Kampung Padang dekat Jalan Sungai Lembing di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Abdul Aziz Ahmad berkata penahanan suspek berumur 38 tahun itu pada 2.30 petang dibuat atas maklumat awam.
"Hasil pemeriksaan polis juga menemukan beberapa peralatan dipercayai untuk mencuri kenderaan seperti sepuluh batang spanar pelbagai saiz, playar, pemutar skru dan pisau.
"Semakan turut mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau. Suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut," katanya kepada Bernama di sini hari ini. - BERNAMA