Artikel
Polis Tahan Lelaki Cuba Samun
Polis menahan seorang lelaki berumur 38 tahun di Desa Jaya di sini yang dipercayai terlibat dalam satu kejadian samun di sebuah rumah di Taman Desa..
Polis menahan seorang lelaki berumur 38 tahun di Desa Jaya di sini yang dipercayai terlibat dalam satu kejadian samun di sebuah rumah di Taman Desa di sini Jumaat.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata polis menerima aduan daripada seorang lelaki mengenai dua perompak bersenjata parang memasuki rumahnya pada kira-kira pukul 2.50 petang.
"Sebaik sampai di tempat kejadian, polis terdengar orang ramai sekitar kawasan berkenaan menjerit apabila melihat dua lelaki cuba melarikan diri di rumah itu," katanya dalam satu sistem pesanan ringkas kepada Bernama.
Beliau berkata dua lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta, dan cuba merempuh seorang anggota polis.
Katanya seorang daripada dua anggota polis yang berada di situ terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara dan satu lagi ke arah tayar kereta yang dinaiki kedua-dua lelaki berkenaan, namun kedua-duanya terus menghilangkan diri.
Abdul Rahim berkata seorang daripada lelaki itu kemudiannya ditahan selepas dia terserempak dengan polis di kawasan berdekatan.
-- BERNAMA