Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Polis Tahan Lapan Lelaki Geng Samun

Published: 09 Oct 2015 3.59 PM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis berjaya menumpaskan geng samun menggunakan parang yang aktif di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) selepas menahan lapan lelaki di sekitar Sungai Bakap, di sini Ahad dan Isnin lepas (4 dan 5 Okt).
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-lapan-lelaki-geng-samun
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 07:41 MYT

Nibong Tebal, 9 Okt - Polis berjaya menumpaskan geng samun menggunakan parang yang aktif di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) selepas menahan lapan lelaki di sekitar Sungai Bakap, di sini Ahad dan Isnin lepas (4 dan 5 Okt).

Ketua Polis Daerah SPS Supt Wan Hassan Wan Ahmad berkata lapan lelaki berusia 16 hingga 28 tahun itu ditahan selepas mereka terlibat dalam cubaanmenyamun sekumpulan warga Nepal di asrama pekerja berkenaan di Seruling Mas, di sini.

"Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, lapan lelaki terbabit cuba menyamun 16 pekerja kilang itu tetapi gagal apabila mereka (warga asing) melawan geng samun itu.

"Mereka berjaya menahan dua daripada geng samun itu sebelum polis menangkap enam lagi di sekitar Sungai Bakap beberapa jam selepas kejadian," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan lapan lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun.

Wan Hassan berkata polis merampas empat bilah parang, sembilan telefon bimbit, sebuah kereta dan tiga motosikal yang dipercayai digunakan kumpulan itu semasa menyamun.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun di Nibong Tebal yang disyaki terlibat dalam 23 kes samun, curi dan pecah rumah di sekitar SPS sejak awal tahun ini.

Beliau berkata lelaki yang bergerak sendirian dan bersenjatakan pisau itu ditahan pada Rabu dan didapati positif dadah.

"Berdasarkan siasatan polis, kes melibatkan lelaki yang tidak bekerja itu membabitkan kerugian lebih RM100,000. Susulan penahanannya kami merampas pelbagai barangan antaranya pisau, telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank dan dompet serta wang tunai," katanya. - BERNAMA

ArticlePublished 09 Oct 2015 3.59 PMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM