Polis Tahan Empat Penyokong Bola Negeri Sembilan Dipercayai Pukul Penyokong Felda United
Kuantan, 13 Julai - Polis menahan empat penyokong Negeri Sembilan awal pagi tadi kerana dipercayai memukul seorang penyokong Felda United selepas perlawanan pembukaan bola sepak Piala Malaysia 2016 antara kedua-dua pasukan itu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dekat Maran, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Mat Rizal Mat Radzi berkata kesemua suspek lelaki itu, berumur antara 19 hingga 39 tahun, ditahan pada 1.15 pagi ketika berada di dalam sebuah bas penyokong Negeri Sembilan di Plaza Tol Chenor.
Beliau berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, Muhamad Lokmanul Hakim Hassan, 26, dari Bandar Jengka, menyatakan bahawa semasa keluar dari stadium itu selepas tamat perlawanan lebih kurang 11 malam, mangsa tiba-tiba didatangi sekumpulan penyokong Negeri Sembilan yang terus menyerang dan memukulnya.
Mat Rizal berkata ketika kejadian itu, rakan mangsa Fahmi Ibrahim, 21, turut kehilangan beg duit berserta beberapa dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank ATM dan lesen memandu.
Pada perlawanan itu Felda United menewaskan Negeri Sembilan 3-1.
- BERNAMA