Polis Tahan Empat Pekerja Dan Rampas 14 Mesin Judi Di Pusat Hiburan Keluarga
Alor Setar, 22 Okt - Polis menahan empat pekerja dan merampas 14 mesin judi dalam serbuan di pusat hiburan keluarga yang terletak di pasar raya besar di Jalan Telok Wanjah, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supt Rohana Omar berkata, polis menyerbu pusat hiburan itu kira-kira pukul 10.30 malam dan turut menahan 13 pelanggan berumur antara 20 dan 40 tahun.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai sebanyak RM2,588 dan 590 token yang digunakan untuk bermain mesin judi itu.
Katanya, hasil siasatan mendapati pemilik pusat hiburan keluarga itu mengambil kesempatan meletakkan mesin judi berhampiran dengan peralatan permainan lain bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Kita percaya kegiatan itu sudah berjalan lebih enam bulan untuk memberi peluang kepada kaki judi berjudi di tempat terbuka," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Rohana berkata, empat pekerja pusat hiburan yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 20-an itu direman bermula hari ini hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun.
-BERNAMA