Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Empat Lelaki Rampas Pistol Bersama Peluru

Diterbitkan: 22 Feb 2016 8.49 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.33 PM
Polis menahan empat lelaki dan merampas sepucuk pistol bersama 39 butir peluru di Telipok, dekat sini baru-baru ini.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-empat-lelaki-rampas-pistol-bersama-peluru
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 14:52 MYT
Kota Kinabalu, 22 Febuari 2016 - Polis menahan empat lelaki dan merampas sepucuk pistol bersama 39 butir peluru di Telipok, dekat sini baru-baru ini. 

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata ketika pihaknya
membuat rondaan di sekitar Telipok kira-kira pukul 12.50 tengah malam Khamis lepas, pihaknya telah menahan sebuah kereta, namun kereta berkenaan bertindak melarikan diri ke Skim Penempatan Telipok. 

"Polis kemudian mengejar dan menemui kereta berkenaan yang dipakir di tepi jalan di penempatan berkenaan. Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu, polis menemui sepucuk pistol jenis Colt 45 serta 39 butir peluru," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penemuan pistol berkenaan, polis telah melakukan operasi selama dua hari sehingga Sabtu lepas dan berjaya menahan empat lelaki berusia 16 hingga 25 tahun di sekitar Telipok. 

Chandra berkata kesemua suspek itu ditahan bagi membantu siasatan dan kini polis sedang memburu seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Rosli Samsurani, 40-an, kerana dipercayai pemilik pistol dan peluru berkenaan serta terlibat dengan kes dadah. 

"Suspek yang tidak mempunyai dokumen itu beralamat di Skim Penempatan Telipok dan orang ramai yang mempunyai maklumat terhadap suspek boleh memghubungi Insp P. Vikineswaran Nair di talian 014-9639440," katanya. 

Sementara itu, dalam kes berasingan, Chandra berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 57 tahun kerana menyamar dan memiliki peralatan polis Rabu lepas. 

Beliau berkata lelaki berkenaan ditahan pasukan peronda di Skim Penempatan Telipok kira-kira pukul 2.15 petang dan ketika ditahan, lelaki yang memakai kemeja-T polis itu berada di dalam kenderaan yang mempunyai pelekat polis.

"Hasil pemeriksaan, polis turut menemui beberapa barangan lain di dalam kereta suspek termasuk sepasang gari, sebuah topi polis dan tiga helai baju kemeja-T polis," katanya. 

Katanya, pihaknya kini menyiasat sama ada lelaki berkenaan terlibat dalam kes menyamar sebagai polis untuk melakukan peras ugut kepada orang ramai, terutama warga asing. - BERNAMA 
ArtikelDiterbitkan 22 Feb 2016 8.49 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.33 PM