Article
Polis Tahan Empat Lelaki Disyaki Terbabit Kes Pecah Rumah
KOTA BAHARU, 27 Jan (Bernama) -- Dua jam selepas penahanan seorang lelaki yang disyaki memiliki motosikal curi, Polis Kelantan menahan tiga lagi lelaki sekalig...
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Mazlan Lazim berkata keempat-empat lelaki berumur antara 19 dan 24 tahun itu dipercayai aktif melakukan kes pecah rumah pada malam hari sejak beberapa bulan lepas.
"Hasil maklumat awam, kami menahan seorang lelaki berumur 23 tahun yang dipercayai memiliki motosikal curi di Taman Tengku Ahmad Panglima, Tanjung Chat pada pukul 5 petang semalam.
"Hasil soal siasat terhadap lelaki itu kemudian membongkar kes pecah rumah dan curi yang dilakukan bersama tiga lagi sahabatnya dan mereka kemudian ditahan di sebuah rumah sewa di kawasan perumahan Taman Uda Murni," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui pelbagai barangan curi termasuk barangan aksesori wanita, 24 bentuk loket antik pelbagai jenis, 24 bentuk loket lambang Buddha, 46 utas jam tangan, dua kamera, empat tetikus komputer dan 11 jenis speaker.
"Kami turut menemui enam bilah parang, tiga bilah pisau, dua kelongsong peluru, sebilah pedang samurai dan sebilah sabit serta sebuah beg penuh berisi alatan pecah rumah," katanya.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati dua daripada lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes pecah rumah dan curi motosikal.
Mazlan turut meminta orang ramai yang kehilangan barang akibat kejadian pecah rumah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu untuk membuat pengecaman barangan.