Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Dua Lelaki Rampas Lebih 3 5 Kg Dadah

Diterbitkan: 21 Dec 2016 5.44 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas lebih 3.5 kilogram dadah dalam satu operasi khas, di sini malam tadi.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-dua-lelaki-rampas-lebih-3-5-kg-dadah
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 05:46 MYT
Johor Bahru, 21 Dis - Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas lebih 3.5 kilogram dadah dalam satu operasi khas, di sini malam tadi. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor ACP Lukas Aket berkata penahanan kedua-dua suspek berusia 33 dan 34 tahun itu dilakukan di tepi Lebuhraya Pasir Gudang kira-kira pukul 8.50 malam.

"Susulan penahanan kedua-duanya, polis menyerbu sebuah rumah kediaman di kawasan Masai dan merampas 3.5 kg serbuk disyaki ecstasy, 0.99 gram dadah dipercayai syabu, 9.25 gram dadah disyaki ganja dan peralatan untuk memproses
dadah ecstasy," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lukas berkata anggaran harga pasaran bagi keseluruhan dadah itu adalah RM350,000.

Polis juga percaya dadah tersebut untuk edaran tempatan dan kedua-dua suspek
dipercayai aktif antara lima dan enam bulan yang lalu dengan kegiatan dilakukan secara berkala.

Lukas berkata hasil siasatan lanjut, seorang daripada suspek didapati memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan penipuan dan dadah manakala seorang lagi mempunyai dua rekod jenayah juga berhubung dadah. 

Kedua-dua mereka kini ditahan reman hingga 26 Dis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Menurut Lukas, seramai 19,224 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah di negeri ini sepanjang Januari hingga 19 Dis lepas.

Daripada jumlah itu, seramai 2,222 orang ditangkap kerana mengedar dadah; 3,874 orang memiliki; 13,035 orang merupakan penagih dan 93 orang lagi ditahan menurut Undang-undang Pencegahan ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. 

Beliau berkata jumlah keseluruhan dadah yang dirampas pula sebanyak 844.03 kg bernilai kira-kira RM27.44 juta.

"Sepanjang tempoh itu, kami turut menyita wang tunai dan pelbagai harta pengedar dadah berjumlah RM11.63 juta," katanya. - BERNAMA
ArtikelDiterbitkan 21 Dec 2016 5.44 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM