Polis Tahan Dua Lelaki Cuba Pecah Masuk Tadika
George
Town, 5 Okt - Polis menahan dua lelaki yang cuba memecah masuk sebuah
tadika di Lintang Penawar, Jelutong di sini awal hari ini.
Ketua
Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata suspek berusia 27 dan
34 tahun itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Jelutong yang
melakukan rondaan cegah jenayah pada pukul 3.45 pagi.
"Suspek
dipercayai cuba melakukan jenayah itu dengan tiga lelaki lain tetapi
rakan mereka berjaya melarikan diri dan hasil pemeriksaan badan, anggota
kami menemui pemutar skru yang telah diubah suai dan satu spanar,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata ujian urin menunjukkan suspek positif dadah jenis
Methamphetamine dan siasatan lanjut turut mendapati mereka mempunyai
rekod lampau melibatkan dadah dan pecah rumah.
Dalam
perkembangan lain, Gan berkata dua remaja lelaki ditahan selepas
meragut sebuah telefon bimbit milik seorang wanita di hadapan rumahnya
di West Jelutong, di sini malam tadi.
Dalam
kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa sedang berbual dengan rakannya
menerusi telefon bimbitnya sebelum suspek berusia 17 dan 15 tahun
terbabit menyamun telefon berkenaan dan melarikan diri dengan sebuah
motosikal.
"Secara kebetulan anggota kami yang melakukan rondaan melihat kejadian itu dan memberkas suspek.
"Siasatan
lanjut mendapati remaja berumur 15 tahun itu telah dibuang sekolah
manakala rakannya masih menuntut di tingkatan lima sebuah sekolah di
sini," kata Gan.
Sumber : BERNAMA