Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan Dua Ibu Tunggal Rampas Dadah Di Pulau Gaya

Diterbitkan: 04 Oct 2017 7.43 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Polis merampas 1,006.22 gram dadah jenis syabu dengan nilai pasaran kira-kira RM70,000 selepas menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pondo, Pulau Gaya Isnin lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-dua-ibu-tunggal-rampas-dadah-di-pulau-gaya
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 15:09 MYT

POLIS TAHAN DUA IBU TUNGGAL, RAMPAS DADAH DI PULAU GAYA

KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Polis merampas 1,006.22 gram dadah jenis syabu dengan nilai  pasaran kira-kira RM70,000 selepas menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pondo, Pulau  Gaya Isnin lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata dadah berkenaan dijumpai disorok di dalam dua batang pokok nibung yang bahagian hujungnya ditebuk sebelum dipacakkan dari dasar laut hingga ke lantai rumah berkenaan, yang kelihatan seolah-olah tiang rumah.

Katanya bahagian hujung pokok nibung yang mencecah lantai di dalam rumah di perkampungan atas air itu ditutup dengan kepingan papan sebelum dilapis dengan papan lapis dan tikar.

“Di dalam setiap batang nibung itu dijumpai dua beg plastik yang mengandungi 33 paket yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bandaraya Kota Kinabalu turut menahan dua suspek wanita, kedua-duanya ibu tunggal bermumur 26 dan 36 tahun di rumah berkenaan selain menyita pelbagai jenis barang berharga termasuk gelang dan rantai emas bernilai kira-kira RM24,000.

Menurut Chandra, wanita berumur 36 tahun bertaraf penduduk tetap mengusahakan kedai runcit di rumahnya yang juga disyaki sebagai penjaga stor kepada dadah itu manakala suspek kedua tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya dadah berkenaan dipercayai untuk diedar di kawasan Pulau Gaya dan Kota Kinabalu.

Kedua-dua suspek yang kini sedang ditahan reman hingga 9 Okt disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Sementara itu, Chandra berkata tahun ini sahaja, polis Bandaraya Kota Kinabalu sudah menahan 19 suspek, 16 daripadanya lelaki dan tiga wanita, di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan rampasan dadah sebanyak 2.6 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM185,000.

-- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 04 Oct 2017 7.43 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM