Polis Tahan Buruh Rampas 460 Bungkus Air Ketum
Kangar,
6 Feb - Polis merampas 460 bungkus plastik air ketum dan menahan
seorang buruh yang dipercayai menjual air berkenaan dalam serbuan di
sebuah rumah di Kampung Jawi Endoi, Simpang Empat dekat sini, semalam.
Timbalan
Ketua Polis Perlis ACP Md Zukir Md Isa berkata buruh berumur 34 tahun
itu ditahan pada kira-kira pukul 1.30 pagi oleh pasukan Narkotik Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hasil daripada maklumat orang awam.
"Siasatan
mendapati buruh itu menjalankan aktiviti memproses daun ketum sejak dua
bulan lepas dan menjual kepada pelanggannya di sekitar Kangar, Simpang
Empat dan Arau dengan harga RM3.00 sebungkus," katanya dalam sidang
akhbar di sini hari ini.
Menurut
Md Zukir buruh itu dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum dari
negara jiran dan rampasan itu adalah yang terbesar tahun ini setakat
ini.
Katanya
polis menemui 420 bungkusan plastik kecil mengandungi air ketum dalam
enam guni berwarna kuning dan 40 lagi dalam dalam plastik besar yang
kesemuanya seberat 130 liter di bahagian dapur rumah berkenaan.
Turut
ditemui satu periuk besar berisi cecair yang dipercayai air ketum yang
belum dibungkus dan 25 botol ubat batuk 'dynadryl syrup' dipercayai
untuk dicampur dengan air ketum, katanya.
Md
Zukir berkata buruh berkenaan direman selama empat hari mulai semalam
dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana
memiliki ubat batuk yang dilarang yang membawa hukuman maksimum denda
RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan.
Katanya
bagi kesalahan memiliki air ketum, buruh itu disiasat di bawah Seksyen
30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda
RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumber : BERNAMA