Polis Tahan Bapak Ayam Warga Emas Di George Town
George Town, 11 Okt- Polis menahan seorang warga emas yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pelacuran dalam satu serbuan di sebuah hotel di Kampung Deli, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata ketika serbuan pada pukul 4.40 petang itu, polis menahan lelaki berumur 67 tahun bersama lapan wanita warga Indonesia berusia 24 hingga 36 tanun.
"Siasatan awal mendapati lelaki warga emas itu adalah 'bapak ayam' manakala lapan wanita berkenaan yang didapati melanggar syarat pas lawatan sosial dan tiada premit kerja, merupakan pekerjanya yang menawarkan khidmat seks kepada pelanggan mereka," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh berumur 25 tahun dipercayai pelanggan pelacur di hotel berkenaan bagi membantu siasatan dan pihaknya juga merampas empat buku catatan hasil kutipan pelacuran, 22 keping kondom, tuala (35 helai) dan jeli pelincir.
Katanya, 10 individu itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 372A dan 372B Kanun Keseksaan serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigeresen 1963.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Mior Faridalatrash berkata polis juga menahan tiga wanita Indonesia berusia 20 hingga 25 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun di sebuah pusat refleksologi di Jalan Penang di sini kira-kira pukul 7.15 malam tadi.
"Lelaki itu ditahan kerana melindungi dan menggaji tiga wanita Indonesia berkenaan tanpa premit kerja yang sah. Mereka (wanita) masuk ke negara ini hanya menggunakan pas lawatan sosial," katanya.
Beliau berkata siasatan juga mendapati pusat refleksologi itu beroperasi tanpa lesen dan semasa serbuan terdapat seorang lelaki sedang mendapatkan perkhidmatan di situ.- BERNAMA