Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan 77 Individu Di Ladang Kelapa Sawit Kg Dew Taiping

Diterbitkan: 06 Aug 2015 3.06 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis menahan 77 individu termasuk seorang wanita dalam Op Sarang di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Dew di sini Sabtu lepas. Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harrith Kam Abdullah berkata operasi berkenaan, yang dijalankan pada kira-kira 5 pagi, diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Taiping dengan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kerian, menahan 76 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 tahun hingga 50 tahun.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-77-individu-di-ladang-kelapa-sawit-kg-dew-taiping
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 13:26 MYT

TAIPING, 3 Ogos- Polis menahan 77 individu termasuk seorang wanita dalam Op Sarang di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Dew di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harrith Kam Abdullah berkata operasi berkenaan, yang dijalankan pada kira-kira 5 pagi, diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Taiping dengan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kerian, menahan 76 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 tahun hingga 50 tahun.

"Hasil serbuan itu, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berumur 35 tahun dan merampas dadah jenis heroin sebanyak 22.2 gram yang ada bersamanya.

Kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang media akhbar hari ini.

Harrith berkata dalam ops yang sama, pihaknya turut menahan seorang lelaki berumur 52 tahun dan merampas dadah jenis heroin seberat 13.7 gram.

Beliau berkata lelaki berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya.

"Dalam operasi sama, kita juga berjaya menahan empat lagi individu melibatkan kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Daripada keseluruhan 77 tangkapan yang dibuat, hanya 66 didapati positif dadah," katanya.

Dalam pada itu, Harrith berkata menerusi ops berkenaan, pihaknya turut merampas 66 motosikal pelbagai jenama yang kemudian dibawa ke Balai Polis Kamunting untuk semakan lanjut.

"Setelah semakan dan siasatan dilakukan, kita dapati sebuah daripadanya adalah motosikal curi melibatkan kes di Kamunting pada tahun lepas.

Selain itu, sebuah lagi motosikal didapati nombor casisnya telah dicantas manakala 63 buah lagi motosikal dikesan mempunyai sebanyak 120 pelbagai kesalahan trafik dan saman akan dikeluarkan apabila tuntutan motosikal dibuat oleh pemiliknya," katanya.

Harrith berkata tangkapan berkenaan antara kejayaan yang dicapai polis dalam membanteras aktiviti penagihan dadah di kawasan Taiping dan sekitarnya.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 06 Aug 2015 3.06 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM