Polis Tahan 59 Orang Dan Bongkar Sindiket Skim Cepat Kaya
KUALA
LUMPUR, 28 Julai 2010 -- Polis berjaya membongkar kegiatan satu
sindiket penipuan skim cepat kaya selepas menahan 59 orang dan merampas
18 kereta mewah dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Petaling Jaya
dekat sini Selasa malam.
Ketua
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)
Bukit Aman, ACP Rohaimi Md Isa berkata sindiket yang meminta para
pelabur membuat pelaburan sehingga RM41,000 tiap seorang itu dipercayai
memperdayakan orang ramai dengan menjadikan tawaran kereta mewah sebagai
umpan.
Beliau
berkata kegiatan itu terbongkar apabila polis melancarkan "Operasi
Serama" yang disertai 82 anggota termasuk JSJK Selangor dan juga petugas
dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.
Katanya
50 lelaki dan sembilan wanita berumur antara 20 dan 30 tahun yang
menduduki tahap 'higher level' atau 'upline' dalam sistem piramid yang
dianjurkan itu, ditahan semasa mereka mengadakan perjumpaan di sebuah
restoran di apartmen itu.
"Dalam
serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, polis juga merampas 18 kereta
mewah termasuk Mercedez Benz, Fair Lady, BMW dan Mazda yang digunakan
untuk 'mengumpan' orang ramai menyertai skim ini," katanya kepada
Bernama.
Rohaimi
berkata sindiket yang aktif sejak dua tahun itu mensasarkan orang ramai
terutama golongan muda yang baru berkhidmat dalam sektor kerajaan untuk
menyertai skim itu.
"Sindiket
ini tahu, budak-budak muda ini mempunyai keinginan yang tinggi terhadap
kereta-kereta mewah dan senang pula nak buat pinjaman," katanya.
Menurut
beliau modus operandi sindiket ini ialah dengan meminta mereka melabur
wang mengikut pelan sehingga maksima RM41,000 dan mencari pelanggan yang
dikategorikan sebagai 'downline' bagi mencapai hasrat mereka bergelar
jutawan.
Rohaimi
berkata bagaimanapun orang ramai menyedari mereka tertipu apabila
mereka tidak mendapat jumlah pulangan yang dijanjikan walaupun berjaya
mendapatkan jumlah 'down line' yang disasarkan.
"Sindiket
yang mempunyai tiga kumpulan ini bergerak secara bebas dengan
menggunakan restoran-restoran sebagai tempat perjumpaan dan bertemu
dengan kumpulan 'upline' bagi membincangkan perniagaan mereka.
"Kami
terima dua laporan polis berhubung kes ini manakala kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula terima 30
laporan," katanya sambil menambah risikan ke atas kegiatan sindiket
terbabit dilakukan sejak tiga bulan lepas.
Beliau
berkata kesemua 59 anggota sindiket itu direman sehingga Jumaat ini
bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.