Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Polis Tahan 28 Individu Rampas 28 691 Kotak Mercun Dan Bunga Api

Diterbitkan: 21 Jun 2017 2.54 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
Shah Alam, 21 Jun 2017- Polis Selangor menahan 28 individu dan merampas 28,691 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dijual secara haram di tempat terbuka dalam operasi sepanjang Ramadan sehingga semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/polis-tahan-28-individu-rampas-28-691-kotak-mercun-dan-bunga-api
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 04:13 MYT

Shah Alam, 21 Jun 2017- Polis Selangor menahan 28 individu dan merampas 28,691 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dijual secara haram di tempat terbuka dalam operasi sepanjang Ramadan sehingga semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata ia hasil daripada 25 serbuan di seluruh negeri terutama di tempat tumpuan penjualan bahan letupan berkenaan iaitu di bazar Ramadan dan kaki lima kedai.

“Dua puluh enam lelaki dan dua wanita berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun itu kita tahan untuk disiasat dan diambil keterangan kerana kita tidak mahu penjualan secara haram ini terus berleluasa.

“Polis ada mengeluarkan permit kepada peniaga kecil untuk menjual bunga api dan mercun namun mereka mesti mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Kelulusan penjualan itu hanya sah sehingga Ahad ini saja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Samah berkata hanya dua jenis bunga api dibenarkan dijual kepada orang awam iaitu ‘Happy Boom/Magic Pop’  dan juga ‘Pop-pop’ kerana bahan yang digunakan tidak mendatangkan kemudaratan.

Mereka yang ingkar boleh ditahan mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Abdul Samah berkata mana-mana individu yang didapati bermain bunga api atau mercun tidak dibenarkan juga boleh ditahan mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya sekali.

Mengenai Op Selamat 11/2017 yang mula dilaksana Ahad lepas, beliau berkata hanya tiga kematian direkodkan berbanding 12 kematian bagi tempoh sama tahun lepas di negeri itu setakat ini.

“Kita amat harapkan kerjasama seluruh lapisan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika pulang ke kampung berhari raya dan pastikan rumah yang ditinggalkan juga dalam keadaan selamat,” katanya.

-- BERNAMA

 

ArtikelDiterbitkan 21 Jun 2017 2.54 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM