Polis Tahan 18 Warga Benua Afrika Rampas 96 Kg Ganja
KUALA
LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Polis telah merampas 96 kg dadah jenis ganja
bernilai hampir RM300,000 dan menahan 18 orang dari benua Afrika dalam
tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Pemangku
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Othman
Harun berkata kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 19 dan 40
tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di seluruh negara sejak awal
Januari lepas.
"Hasil
risikan, sindiket itu turut menggunakan kolej-kolej pengajian tinggi
swasta di bandar-bandar besar termasuk di ibu negara sebagai lokasi
pengedaran dadah.
"Dadah-dadah
yang diedarkan itu adalah untuk para pelajar kolej berkenaan dan ini
merupakan trend terkini yang digunakan sindiket dari Afrika itu sebagai
usaha mengukuhkan pasaran mereka di negara ini," katanya kepada
pemberita di Bukit Aman pada Rabu.
Katanya,
polis juga mengesan kegiatan sindiket itu yang kini beralih arah dengan
menyeludup dadah jenis ganja, berbanding sebelum ini yang hanya
menyeludup dadah jenis heroin dan kokain ke luar negara.
"Kalau
sebelum ini, penahanan kita banyak tertumpu kepada warga Iran, tetapi
warga Afrika turut memainkan peranan yang sama dengan mensasarkan rakyat
kita sebagai mangsa yang akhirnya menjadikan mereka sebagai keldai
dadah," katanya.
Othman
berkata polis akan terus memantau kegiatan sindiket pengedaran dadah
yang sentiasa mencari peluang mempergunakan rakyat tempatan meskipun
terdapat pengurangan ketara dalam jumlah keldai dadah dari negara ini.
"Setakat
Januari tahun ini sehingga sekarang, seramai 47 warga Malaysia yang
berumur lingkungan 20 hingga 30-an ditahan di luar negara dan daripada
jumlah itu 19 daripadanya adalah kurier dadah yang membawa dadah jenis
ganja.
"Ini
menunjukkan pengurangan kerana sepanjang tahun lepas, seramai 54 orang
rakyat kita ditahan di luar negara atas kesalahan yang sama," katanya.