Polis Tahan 15 Tonto Ganggu Tugas Penguatkuasa Jpj
Ipoh, 16 Nov - Polis berjaya menahan 15 suspek yang terlibat dalam kegiatan 'tonto' yang mengganggu tugas penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak, sejak 2010 hingga tahun ini.
Ketua Polis Perak, Dato' Osman Salleh berkata kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun itu ditahan selepas menerima aduan daripada anggota JPJ.
"Polis menerima aduan daripada kakitangan JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) negeri ini berkaitan kes ugutan dan menghalang penguatkuasa daripada menjalankan tugas.
"Hasil daripada siasatan yang dijalankan, kertas siasatan telah dibuka di antaranya mengikut Seksyen 332, Seksyen 448, Seksen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Osman, seramai 12 suspek didapati bersalah oleh mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman manakala tiga lagi dalam proses pertuduhan.
Beliau berkata, modus operandi kegiatan tonto ini ialah mengekori serta mengawasi kenderaan penguatkuasa JPJ dan SPAD bagi melindungi kenderaan seperti lori yang melanggar undang-undang daripada dikenakan tindakan dan mengganggu serta mengugut penguatkuasa daripada menjalankan tugas.
- BERNAMA